
Sebenarnya pendapat popular bahawa Zulkarnain adalah Iskandar
Zulkarnain (Alexander The Great) telah dinafikan oleh ramai sarjana
Islam kerana setelah dikaji latarbelakang Iskandar Zulkarnain, ternyata
bahawa beliau bukanlah seorang yang berperibadi mulia sebagaimana
Zulkarnain yang diberitakan di dalam Al-Qur'an. Atas sebab itu sarjana
yang kemudian telah mengkaji lagi dan mencari siapakah sebenarnya
Zulkarnain itu.
Wahab bin Munabbih berpendapat bahawa Zulkarnain adalah seorang raja
Yaman bernama As-Sha'ab Zulkarnain bin Al-Harith Zu Murathid bin Amru
Al-Hammal Zu Manah bin Aad Zu Syidad bin Emir bin Al-Milthat bin Saksak
bin Wail bin Himyar bin Saba' bin Yusyiab bin Yi'rab bin Qahtan bin Hud
a.s. bin Emir bin Syalikh bin Arfafksyad bin Sam bin Nuh a.s. Men arik
juga kisah As-Sha'ab Zulkarnain ini kerana baginda ini dikatakan hidup
di zaman Nabi Musa a.s. dan satu lagi perkara menarik ialah bahawa Nabi
Khidir a.s. adalah menteri kanan kepada As-Sha'ab dan Khidir a.s. telah
mengikuti baginda bersama-sama dalam siri pengembaraan baginda untuk
menakluki negeri-negeri lain. Malah Khidir a.s. dikatakan telah
menghilangkan diri selepas As-Sha'ab Zulkarnain mangkat.

Seorang lagi raja yang dikaitkan dengan Zulkarnain ialah Kaurasyh
Al-Ikhmini. Pendapat ini dikemukakan oleh Abul Kalam Azad, bekas
Menteri Pendidikan India. Beliau telah menyelidik sejarah Parsi kuno
dan menemukan seorang raja yang terbilang sejarahnya. Kaurasyh dikenali
oleh orang Greek sebagai Syrus, dan orang-orang Yahudi menggelarnya
sebagai Khauras. Selain dari merupakan raja yang agung, Khaurasyh
dikatakan bersifat adil, hubungan dengan rakyat jelata adalah baik, dan
menunjukkan sifat-sifat kemanusiaan yang mulia.


